July 27, 2008

Pelancaran Buku Tuan Hj Abd Rahman Merbok

Tanggal 26 Julai 2008 mungkin adalah tarikh biasa bagi kebanyakan orang.Tetapi bagi rakyat yang mahukan perpaduan di antara dua parti sahsiah umat Islam dan Melayu di Malaysia yakni UMNO dan PAS merupakan sesuatu yang begitu menyentuh hati sanubari.

Pelancaran Buku Tn Hj Abd Rahman Merbok yang juga Guru Murshid Diraja merupakan suatu titik tolak kepada perubahan cara dan gaya kepimpinan politik Malaysia khususnya Kedah pada hari ini. Kesudian YAB Dato' Seri Hj Azizan Bin Abd Razak hadir bagi merasmikan program tersebut mempunyai signifikan yang amat positif kerana penganjurnya adalah Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan Malaysia yang ditunjangi oleh UMNO sebagai pentadbirnya.

Kehadiran Ybhg Dato' Seri Zainuddin Bin Maidin [mantan Menteri Penerangan Malaysia] yang juga bekas Ahli Parlimen Merbok bersama-sama YBhg Dato' Mohd Amin Bin Hj Salleh [Ketua Pengarah JASA] begitu menarik minat dikalangan ahli politik Kedah. Apatah lagi dengan suasana yang semakin muhibbah di antara kepimpinan tertinggi PAS dan UMNO untuk bertemu dan berbincang mengenai kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini pasca PRU 12 yang lalu.

Kehadiran kepimpinan UMNO dan PAS Merbok juga begitu dinanti-nantikan orang penduduk setempat. Apalah yang perlu kita bencikan di antara satu parti politik dengan parti politik yang lain walhal bangsa lain semakin menghimpit kedudukan dan mengambil hak kepunyaan orang Melayu.

Jabatan Hal Ehwal Khas bertindak bijak dengan membuka ruang dan masa untuk sama-sama kita meneruskan kerja-kerja amal kebajikan yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Keterbukaan sebuah jabatan kerajaan persekutuan untuk berganding bahu bersama-sama kerajaan negeri ini amatlah dialu-alukan.

Semoga usaha yang mulia ini akan diteruskan dari hari ke hari demi keutuhan agama Islam dan pengukuhan orang Melayu serta perpaduan di antara kaum di negara Malaysia tercinta ini.

No comments: