Sejarah telah melakarkan PAS pernah bersama UMNO dalam tampuk kepimpinan negara demi kemajuan Agama dan Bangsa. Pertemuan persamaan pada ketika itu memberi nafas baru dalam usaha meningkatkan martabat syiar Islam di Malaysia. Perseteruan di antara dua parti politik utama orang Melayu ini dianjakkan ke tepian sebagai titik tolak kepada persefahaman yang jitu.
Ketaksuban kepada parti berjaya dikurangkan.Walaupun persefahaman yang terjalin tidak kekal lama sebagaimana yang diharapkan, parti-parti ini masih lagi menjadi pilihan utama rakyat sebagai wadah siasah Melayu/Islam yang terbaik.
Setelah beberapa lama tidak lagi kedengaran ajakan pertemuan antara UMNO dan PAS, kini umat Islam kembali menerima khabar berita yang baik setelah YAB Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi mengesahkan bahawa telah berlaku pertemuan di antara pimpinan tertinggi UMNO dan PAS dalam usaha merungkai kekusutan akibat pergolakan politik demi kelangsungan Islam dan Melayu di negara ini.
Perkhabaran ini menjadi menjadi topik perbincangan bukan sahaja dikalangan pemimpin politik tetapi juga para ilmuan Islam yang amat mengharapkan suatu kerjasama erat kedua-dua parti politik ini walaupun menghadapi kesukaran untuk bergabung sebagai entiti baru parti politik Malaysia.
Keterbukaan YAB Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO serta keikhlasan YB Dato' Seri Hj Hadi Awang sebagai Presiden PAS untuk bertemu amatlah disanjung tinggi. Sewajarnya ahli-ahli UMNO dan PAS berdoa semoga pertemuan ini akan menjadi tanda aras baru budaya politik Malaysia ke arah kerjasama erat dalam pelbagai bidang terutamanya berkaitan Islam dan Melayu.
Walaupun demikian, parti-parti bukan Melayu dan Islam terutamanya DAP melihat pertemuan ini adalah sesuatu yang sukar diterima terutamanya dalam Pakatan Rakyat di mana mereka telahpun menang besar semasa Pilihanraya Umum Ke 12 yang lalu. DAP melihat PAS telah menjadi duri dalam daging apabila memperkatakan tentang kerjasama dengan UMNO adalah terlalu bersifat keagamaan dan perkauman.
Keutuhan dan kekuatan orang Melayu di negara ini adalah faktor utama kestabilan politik Malaysia seharusnya diambil kira oleh DAP dalam mempersoalkan tentang kerjasama UMNO dan PAS. Mereka mestilah positif dalam hal seumpama ini sekiranya mahu demokrasi terus subur tanpa prejudis terhadap kepimpinan Melayu dalam mengawal dan memelihara perpaduan dalam negara.
Sebagai rakyat Malaysia beragama Islam dan berbangsa Melayu, marilah kita buktikan kepada seluruh rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama bahawa kerjasama erat yang bakal terjalin di antara UMNO dan PAS akan memberi impak yang amat baik kepada perkembangan dan kemajuan negara ini. Islam adalah agama yang membawa kemakmuran kepada semua manusia di dunia ini.
Kepada Presiden UMNO dan PAS, teguhkanlah hati sanubari anda walaupun menerima pelbagai tekanan demi kecemerlangan agama Islam dan umat Melayu di bumi bertuah ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment