Bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, satu perhimpunan telah diadakan yang dianjurkan oleh Sekretariat Perpaduan Melayu Jerai di mana ditampilkan pemidato berpengalaman seperti Dato’ Dr. Abdul Malik Bin Munip (sejarawan dan tokoh akademik) serta Ybhg Ustaz Kamal Bin Saidin (Aktivis Melayu).
Dengan kehadiran lebih 2,000 orang yang kesemuanya adalah Melayu, matlamat perhimpunan ini tercapai dengan ucapan serta perincian kedudukan orang Melayu dari pelbagai aspek oleh pemidato. Dato’ Dr. Abdul Malik Munip menceritakan permasalahan yang dicipta oleh penjajah untuk diteruskan oleh orang Melayu dengan harapan dan tujuan supaya Melayu itu akan terus berada di alam kemalasan dan khayalan bahawa Melayu itu tidak boleh berubah selama-lamanya.
Penjajah menakluki bukan sahaja Tanah Melayu tetapi peri pentingnya adalah minda Melayu itu. Ditanam dengan sifat-sifat negatif yang asalnya hanya sedikit tetapi apabila diulangi sepanjang masa dan ketika, ianya berubah menjadi kebiasaan yang dinamakan adat. Walhal menurut Dato’ Dr. Abdul Malik Munip, adat adalah suatu pegangan Melayu yang sebenarnya berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Oleh kerana itulah wujudnya “biar mati anak jangan mati adat”.
Ucapan Dato’ Dr. Abdul Malik Munip diakhiri dengan harapan supaya Melayu bersatu padu dan memegang beberapa peribahasa yang menunjukkan Melayu adalah yang amat berdisiplin bermula dari buaian hinggalah ke liang lahat.
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit diterjemahkan kepada suatu permulaan bagi Melayu untuk menggapai kejayaan yang mendatang.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke lengan ditampilkan supaya sesuatu kerja yang dilakukan mestilah bersungguh-sungguh walaupun terpaksa mengharungi kepayahan yang amat.
Diakhiri dengan genggam bara api biar jadi abu yang perlu diimplimentasikan sebagai suatu tanggungjawab serta amanah yang dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin dengan sepenuh kudrat sehingga memperolehi kejayaan dan kemengangan walaupun mungkin kita sendiri yang terkorban.
Nota: “Biar mati anak jangan mati adat”.
Jika anak telah dimatikan demi kelangsungan adat, siapa pula yang mewarisi adat?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment