Daulat Tuanku...
Semalam merupakan hari yang begitu bersejarah kepada seluruh Rakyat Negeri Kedah di mana KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyambut Jubli Emas Pemerintahan Baginda selaku Sultan negeri Kedah. Sambutan yang diadakan begitu meriah sekali dengan pelbagai acara yang menarik dipersembahkan kepada rakyat jelata.
Dengan ribuan rakyat yang menyambutnya di lokasi perarakan, suasana amat meriah dan begitu mengagumkan. walaupun demikian, rakyat mempersoalkan kerajaan negeri yang diberi amanah untuk mengelolakan program di mana terdapat begitu banyak kelalaian dan kealpaan yang jelas ketika program berlangsung. Janganlah dibicarakan soal kelemahan pemberitahuan berkenaan keadaan trafik pada hari raptai sahaja tetapi pada hari perarakan rakyat yang terlalu ramai memenuhi kawasan hadapan Balai Besar di mana ianya adalah kemuncak pada hari tersebut amat sukar untuk menyaksikan dengan mata dan kepala sendiri kerana kelemahan perancangan kerajaan negeri.
Tidak ada langsung skrin besar diletakkan di kawasan strategik untuk membolehkan rakyat menyaksikan hari bersejarah tersebut. Rakyat hanya dapat melihat secara samar-samar kecuali mendengar bunyi dentuman meriam. Kebanyakan rakyat mengeluh kerana penglihatan yang terbatas terutamanya yang membawa anak kecil dan ini amat mengecewakan mereka. Kelemahan ini sebenarnya amat disedari oleh penduduk sekitar di mana pembinaan serta pengubahsuaian kawasan Medan Bandar tidak dapat disiapkan mengikut jadual.
Kerja-kerja masih dijalankan sehingga ke pagi perarakan tersebut. Jika diperhatikan khususnya kawasan air pancutan, kayu-kayu pembinaan masih bersepah serta keadaan kolam yang teruk. Lebih memburukkan keadaan ialah pokok-pokok bunga yang baru ditanam yang tidak langsung menyerikan keadaan. Apakah sebegini lemahnya perancangan kerajaan negeri sehingga program Diraja yang sebegini penting tidak mendapat perhatian khusus daripada mereka?
Diharap kerajaan negeri dapat mengambil ini sebagai iktibar dan pengalaman dalam usaha mereka untuk melaksanakan apa jua program atau aktiviti yang membabitkan Istana dengan lebih cekap dan efisien.
Semoga KDYMM Tuanku Sultan akan terus berada dalam rahmatNya.
Daulat Tuanku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment