UiTM - dulu ITM, Maktab MARA atau Maktab RIDA - adalah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Bumiputera. Kewujudannya adalah berasas dan berlandaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Status ini tidak perlu dipertikaikan. Ia juga tidak wajar dirobah. Janganlah kerana politik maka status ini mahu digolok-gadaikan oleh sesiapa.
Selaku alumni UiTM saya menyeru ratusan ribu graduan ITM dan kini UiTM, supaya bangkit, bersuara dan bertindak menentang sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat status quo IPT ini mutakhir ini.Saya harap rakan-rakan bangkit, bersuara dan bertindak untuk mempertahankan UiTM yang kini mahu dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.
Maktab RIDA, Maktab MARA, ITM dan akhirnya UiTM, mempunyai sejarah yang panjang sejak penubuhannya pada 1956. Mutakhir ini UiTM mempunyai 1 kampus induk, 3 kampus satelit, 12 kampus cawangan, 8 kampus bandaraya dan 19 kolej bersekutu. Jumlah pelajarnya kini kira-kira 100,000 orang.Universiti ini menerokai bidang-bidang baru sejak berpuluh tahun yang lalu. Contohnya, sebelum masyarakat Malaysia mengenali komputer secara meluas, UiTM sudah memulakan kursus sains komputer sejak pertengahan 1960-an. Ia juga menyediakan pelbagai kursus lain yang mencakupi hampir semua bidang kehidupan, perniagaan, perdagangan dan perindustrian.
Oleh itu, mari kita pertahankan UiTM. Kita tentang habis-habisan sesiapa sahaja yang cuba merobah status quo di atas. Bujur lalu, melintang patah, seluruh lepasan UiTM mesti pertahankan IPT ini daripada diperkotak-katikkan oleh sesiapa.Dalam konteks ini, kita ucapkan syabas kepada lebih 3,000 pelajar UiTM yang hari ini berhimpun di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam untuk menunjukkan sikap tidak kompromi mereka kepada sesiapa sahaja yang mahu menukar status quo UiTM.Kita juga ucapkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Ibrahim Shah yang juga bertegas menentang apa jua percubaan untuk mengganggu-gugat universiti tersebut kebelakangan ini.
Kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, wajar kita beri amaran awal, jika apa yang telah beliau suarakan mengenai UiTM baru-baru ini terus disuarakan, bersedialah hadapi kunsekuensinya. Insaflah bahawa lulusan ITM dan UiTM yang ratusan ribu jumlahnya adalah satu force yang tidak boleh diperlekehkan oleh sesiapa, waima oleh seorang Menteri Besar!
Diolah untuk tatapan rakan-rakan.
Ihsan Kuda Kepang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment