August 14, 2008

Calon BN Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 13 Ogos (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya Datuk Ariff Shah Omar Shah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkan nama Ariff Shah, 52, berkata setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor tempatan dan semasa, beliau adalah calon terbaik menentang penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut kerusi kawasan parlimen berkenaan.Najib mengumumkan demikian di hadapan kira-kira lebih 3,000 penyokong BN di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di sini malam Rabu.Pilihan raya kecil kawasan parlimen itu diadakan ekoran penyandangnya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar.Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 16 Ogos ini hari penamaan calon.Najib kemudiannya memberitahu pemberita bahawa beliau yakin Ariff Shah telah berkhidmat dengan baik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan mampu memberi khidmat kepada seluruh penduduk Permatang Pauh.Ariff Shah mula terpilih sebagai ADUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum 2004 dengan mengalahkan calon PKR Dr Mansor Othman dengan majoriti 4,464 undi.Pada pilihan Mac lepas beliau mengekalkan kerusi DUN itu untuk penggal kedua menewaskan calon PKR Ramli Bulat dengan majoriti 533 undi.Menjawab soalan adalah bukan menjadi amalan dalam BN untuk seseorang wakil rakyatnya menjadi Anggota Parlimen dan ADUN secara serentak, Najib berkata tidak ada yang boleh menghalang pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan itu kerana ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara dan parti pembangkang juga berbuat demikian.Kepada soalan sama ada pencalonan Ariff Shah boleh mengubah undi orang Cina kepada BN beliau berkata :" Saya masih berharap untuk peralihan semua undi."Najib juga yakin semua parti komponen BN akan bekerjasama bagi menjamin kejayaan perikatan itu."Kita bukan lihat perkara ini dari aspek pilihan raya tetapi kita perlu lihat dalam aspek keteguhan BN untuk jangka masa panjang," katanya.Najib berharap semua pemimpin dan anggota parti memberi sokongan penuh kepada Ariff Shah dan mereka yang tidak terpilih sebagai calon tidak bermaksud ia menjejaskan masa depan politik mereka."Saya juga berharap semua yang tidak terpilih (sebagai calon) supaya memberi sokongan penuh dan bekerjasama menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan calon dan BN pada pilihan raya kecil itu nanti."Bila berkempen nanti jangan kita ketepikan calon yang terpilih walaupun dalam bahagian kita tidak sokong dia (calon), jangan lihat dia sebagai musuh," katanya.Najib berkata pemilihan Ariff Shah juga adalah atas faktor kemenangannya mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum lepas."Kita hendaklah bekerja sedaya upaya untuk mencapai kejayaan dan jangan ada pertimbangan lain dan jangan fikir siapa yang hendak jadi ketua bahagian atau sebagainya, sebaliknya fikirkan strategi untuk menang pilihan raya kecil itu nanti," katanya.Ariff Shah dilahirkan di Pulau Pinang dan berpendidikan sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina di Perak, Terengganu dan Kuala Lumpur.Beliau petah berbahasa Mandarin dan Hokkien dan kefasihannya bertutur bahasa itu menyebabkan ramai kaum Cina kagum dengan ucapannya.Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Seberang Jaya dan ketua penerangan tetapi tidak memegang sebarang jawatan dalam parti pada pemilihan lepas.Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad dan Pengerusi MCA Negeri Datuk Liow Tiong Lai.

-- BERNAMA

No comments: