August 14, 2008

Di Sebalik 16 Sept. 2008

Kita seringkali mempersoalkan kewajaran dan persoalan mengapa 16 Sept. 2008 dipilih oleh Anwar Ibrahim sebagai tarikh peralihan kuasa pentadbiran negara daripada kepimpinan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat. Semua rakyat Malaysia mengetahui tarikh ini yang diuar-uarkan oleh Anwar Ibrahim.

Selepas Pakatan Rakyat memenangi 5 buah negeri dalam PRU yang lalu, Anwar Ibrahim pada mulanya meletakkan tarikh peralihan kuasa sekitar bulan Jun tetapi mengubahkan tarikh berkenaan ke 16 Sept. 2008. Mengapa?

Tidak ramai yang menganalisis perubahan tarikh tersebut melainkan mengandaikan bahawa Anwar Ibrahim hanya cuba menarik perhatian Ahli Parlimen dari Sabah untuk menyokong beliau. Perlu diingatkan bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang strategis. Beliau tahu apa yang dilakukannya!

Sebagai mantan Timbalan Presiden UMNO, kedudukan beliau pada masa itu memberi seribu satu pengetahuan berkenaan selok belok ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian. Terutamanya berkaitan pemilihan dalam parti. Pengembelengan usaha dan kerja kuat ketika pilihanraya tidak sama dengan mobiliti usaha untuk memenangi jawatan dalam pemilihan parti.

Ada dengan sinis berkata bahawa pada setiap kali pilihanraya umum, ramai ahli-ahli UMNO tidur lebih awal berbanding ketika pemilihan parti. Inilah mungkin sebab musabab tarikh tersebut dipilih oleh Anwar Ibrahim. Penetapan tarikh yang beliau umumkan adalah berpunca dan berfaktorkan pengumuman Majlis Tertinggi UMNO berkenaan tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi persidangan cawangan, mesyuarat perwakilan bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2008.

Beliau amat mengetahui ruang yang beliau ada untuk menumbangkan kerajaan BN adalah pada masa dan ketika tunggak utama BN iaitu UMNO sedang melalui proses pemilihan parti. Pada ketika ini ahli-ahli mahupun pemimpin tertinggi parti UMNO hanya akan berjuang untuk mengekalkan jawatan ataupun cuba mengambilalih jawatan daripada pimpinan sediada.

Sehingga kini, majoriti bahagian UMNO akan berlaku pertandingan tidak kira samada peringkat cawangan mahupun bahagian. Kelekaan inilah yang diambil oleh Anwar Ibrahim untuk menumbangkan kerajaan. Pakatan Rakyat boleh dikatakan mengadakan ceramah-ceramah umum pada setiap hari menghentam, mengkritik dan mencaci hamun kerajaan. Tetapi BN, terutamanya UMNO tidak pula mengadakan ceramah-ceramah untuk bertindakbalas terhadap kritikan pembangkang terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Seharusnya sebagai pembangkang di negeri-negeri tersebut, BN dan UMNO yang perlu bertindak sebagai penyerang untuk senantiasa menyerang kerajaan Pakatan Rakyat! Di mana sifat-sifat pembangkang pada BN dan UMNO?

Yang lebih menggusarkan ialah, kita harus sedar dan lebih berwaspada perubahan yang akan berlaku pada kepimpinan peringkat bahagian UMNO di seluruh negara. Mengapa ini ditimbulkan?

Anwar Ibrahim agak lama di dalam kerajaan dan parti UMNO. Tidakkah kita sedar bahawa betapa ramainya kroni-kroni beliau yang tidak mengikut jejak beliau dipecat dan meninggalkan UMNO? Mereka ini berusaha untuk menempatkan diri di peringkat tertinggi bahagian sebagai Ketua dan jawatan-jawatan yang penting dalam UMNO. "Networking" Anwar Ibrahim bukan sahaja luar negara tetapi yang penting dan bahaya adalah di dalam negara.

Tidak mustahil juak-juak beliau akan membuat satu "U-Turn" yang bakal menggemparkan negara. Kita harus sedar bahawa masih ramai yang termakan budi dan jasa Anwar Ibrahim. Kepada Presiden UMNO, berhati-hatilah dengan tingkahlaku kepimpinan di peringkat bahagian. Kepada ahli-ahli Parlimen, tuan-tuan dan puan-puan adalah dipilih oleh rakyat atas dasar BN bukannya kebolehan individu. Maka sewajarnya kedudukan BN sebagai pentadbir negara dikekalkan secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat.

Kepada PAS, bermuktamarlah sebaik mungkin demi Islam dan Melayu di negara ini. Jika UMNO Perak yang menawarkan kerjasama membentuk kerajaan Perak dikatakan sebagai rasuah politik, mengapa pula mesti menyokong Anwar Ibrahim yang cuba membentuk kerajaan melalui pintu belakang? Tidakkah itu juga rasuah namanya? mengapa pilihan rakyat dinafikan?

16 Sept. 2008 amat dinantikan semua rakyat. Adakah YB-YB sanggup mengkhianati keputusan rakyat? Samada berubah atau tidak hanya YB-YB Ahli Parlimen yang menentukan.

Yakin dan percayalah bahawa ALLAH akan melindungi hambaNya yang beriman.

No comments: