June 8, 2009

Babi di Jabi

Cadangan Kerajaan PAS Kedah untuk memindahkan Pusat Penyembelihan Babi ke Jabi, Pokok Sena sebagai menggantikan pusat penyembelihan sediada di Kg Berjaya Alor Setar amat dinanti-nantikan penduduk serta peniaga di kawasan Pasar Kg Berjaya.

Penyelesaian isu yang berlarutan puluhan tahun berjaya diselesaikan oleh PAS.

Rakyat yang menerima kesan buruk di sekitar Pusat Penyembelihan sediaada berbesar hati dengan keputusan kerajaan Negeri yang jelas memahami kehendak rakyat. Tetapi....

Berlainan pula dengan penduduk sekitar Jabi yang bakal menerima projek pembangunan yang difahamkan berskala besar untuk membangunkan kawasan tersebut. Yang tidak difahami mengapa penduduk di Jabi tidak mahukan projek berkenaan yang jelas menguntungkan mereka!

Inilah kerajaan yang dimahukan oleh rakyat di Jabi yang meletakkan prinsip keadilan untuk semua kaum dan agama...

Isu ini tidak sukar difahami susur galurnya kerana PAS sudah tentunya mendapat tekanan daripada rakan politik strategik mereka untuk terus mewujudkan pusat penyembelihan seumpamanya. Jika tiada tekanan tersebut, mengapa tidak saja ditutup tanpa perlu dibuka di mana-mana tempat di negeri ini. Apakah tidak efisien daging haiwan tersebut diimport terus dari Pulau Pinang tanpa menjejaskan persekitaran Kedah.

Kerajaan Pulau Pinang semestinya menyukai pengimportan tersebut kerana ianya akan menambah kantung pendapatan kerajaan negeri. Bukankah telah diwujudkan Deklarasi Mentalon yang jelas mahukan pembangunan ekonomi di antara negeri-negeri pimpinan pembangkang?

Rakyat perlu memahami dengan jelas agenda di luar kotak pemikiran rakyat kebanyakan yang menjadi teras kepada perjuangan pembangkang. Sama-sama kita nantikan perkembangannya............

Antara Kepentingan Politik dan Agama

Muktamar PAS baru-baru ini mencerminkan kegagalan PAS untuk meneruskan pendekatan Islamik mereka kerana percanggahan di kalangan pimpinan PAS dalam menentukan hala tuju perjuangan.
Presiden PAS dengan jelas memahami situasi politik tanahair yang memerlukan PENGORBANAN BESAR daripada semua umat Islam berketurunan Melayu untuk terus mendasari Kerajaan Persekutuan mentadbir negara yang mempunyai pelbagai budaya dan agama.
Kepentingan dan muslihat politik PKR yang majoriti pemimpinnya di kalangan bukan Melayu jelas kelihatan dan semakin menampakkan belangnya. Hadi Awang bertindak bijak bersama Timbalan Presiden PAS untuk terus berdialog bersama UMNO demi kepentingan umat Islam walaupun disanggah hebat oleh Mursyidul Am PAS.
Pemahaman dan perjuangan Islam yang ditunjukkan kedua pemimpin seharusnya disambut baik oleh pemimpin UMNO untuk terus menjalin silaturrahim di antara dua parti siasah Melayu terbesar di Malaysia. PAS sewajarnya kembali kepada tuntutan agama yang jelas mahukan perpaduan dan keamanan walaupun terpaksa ditelan pahit kemarahan golongan yang tidak mahu kepada tuntutan agama ini.
Rakyat kini menanti episod baru politik Malaysia yang menjurus ke arah perpaduan demi kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.

January 28, 2009

Kembali bersua...

Telah lama blog ini tidak diperbaharui maklumat dan informasinya. Ini berikutan keadaan yang tidak mengizinkan pemilik untuk terus memberi buah fikiran demi Agama, bangsa dan negara. Insyallah bermula hari ini, segala maklumat terkini akan disalurkan melalui blog ini

Maal Hijrah yang dinantikan telah bersua. Yang menjadi persoalan adakah tahap penantian tersebut serta pengisiannya akan berubah pada tahap yang terbaik ataupun berada di takuk lama malahan ianya akan makin buruk tanpa ada muhasabah diri.

Perubahan amat diperlukan bagi menjana keterbukaan minda yang global disamping ketahanan diri untuk terus menghadapi cabaran mendatang yang sudah tentu lebih sukar sesukar keadaan semasa dari segi politik, ekonomi, sosial dan juga agama.

Apapun, kebolehan dan keupayaan mental dan fizikal amat dituntut dalam usaha untuk terus bersaing di arena dunia yang terlalu sempit dan padat khususnya dalam bidang teknologi maklumat.

Welcome back..

September 9, 2008

Lagi Seminggu..

Semua rakyat di negara ini bukan sahaja menantikan 1 Syawal untuk diraikan bahkan turut sama menantikan suatu tarikh yang begitu gah diuar-uarkan oleh seorang rakyat Malaysia yang begitu sinonim dengan politik tanahair.

16 September 2008 dirasakan semakin hampir walaupun sesetengah rakyat merasakan terlalu lambat dan lama untuk dihampiri. Tarikh tersebut dianggap penting bagi seorang individu bagi membuktikan kekuatan dan kebolehan dirinya untuk merubah seluruh halatuju negara ini dengan mengambilalih pentadbiran negara ini.

Mengapakah beliau terlalu taksub untuk mencapainya? Adakah kerana mahukan perubahan pentadbiran? Atau ada sesuatu yang perlu dilaksanakan menerusi agenda politik pihak-pihak tertentu samada dalam negara mahupun luar negara!

Kenyataan demi kenyataan telah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang dikatakan kononnya akan bertukar parti bahawa mereka masih dan akan terus setia bersama Barisan Nasional menerajui negara. Tetapi seseorang itu juga terus meyakinkan rakyat dan penyokong pembangkang bahawa akan ditumbangkan kerajaan BN pada tarikh tersebut.

Agak sinikal melihat orang tersebut terus dengan lagak dan bongkaknya mencanang beliau adalah Perdana Menteri Ke-6!!

Cuba kita lihat begini... Negara Thailand kembali bergolak dengan rakyat cuba mengguling kerajaan sediada walhal kepimpinan itu jualah yang dijulang untuk menumpaskan kerajaan terdahulu! Inilah hukum karma. Sekiranya sesebuah kerajaan itu ditubuhkan melalui cara yang tidak baik ianya juga akan dijatuhkan dengan cara yang sama.

Adakah rakyat Malaysia mahukan permasalahan dan pergolakan yang sama turut berlaku di negara tercinta ini? Sudah tentu kita mahu terus hidup dalam keamanan dan kedamaian.

Sekiranya hamba Allah itu mahu terus menggasak kerajaan supaya tumbang dengan cara yang salah, dipersilakan!! Tetapi ingatlah bahawa apa jua yang bakal berlaku akan menjadi suatu lipatan sejarah yang akan ditangisi seluruh rakyat di mana waris negara yang belum mengetahui apa-apa akan mencemuh dan menempelak kita suatu masa nanti.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah s.w.t akan melindungi negara ini dari malapetaka dan musibah akibat pergolakan politik yang berterusan menghantui rakyat yang cintakan kedamaian.

ALLAH jualah yang Maha Mengetahui....